Saturday, November 12, 2011

ILMU DALAM PERSPEKTIF ISLAM

Islam merupakan agama thamawi yang diturunkan oleh ALLAH S.W.T. kepada manusia dan Nabi Muhammad S.A.W. merupakan rasul yang diturunkan oleh ALLAH S.W.T. kepada manusia sebagai pembimbing serta rujukan. Perkara yang menjadi asas kepada penganut agama Islam adalah iman dan amal. Iman adalah kepercayaan kita kepada apa jua yang diturunkan oleh ALLAH S.W.T. dan amal pula merupakan ibadah yang wajib serta perlu dilaksanakan bagi membenarkan iman seseorang itu. Bagi memperolehi iman serta amal yang benar perkara yang perlu ada bagi setiap individu muslim itu adalah ilmu. Seperti mana wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah Surah Al-‘Alaq ayat 1-5 dengan jelas mewajibkan. Orang yang berilmu juga mendapat pengiktirafan dan kedudukan yang tinggi di sisi ALLAH S.W.T. seperti yang firmanNYA:

“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beerti ia telah diberikan kebaikan yang banyak”. (Al-Baqarah:269)

Definisi Ilmu:

Ilmu dari sudut bahasa berasal dari perkataan Arab "Alima" yang bererti mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui tentang sesuatu dengan sebenarnya. Dalam konteks zaman peradaban dunia sekarang ilmu lebih merujuk kepada pengetahuan terhadap sesuatu perkara atau sesuatu peristiwa. Sementara dari segi istilah pula ilmu merujuk kepada semua pengetahuan atau kebenaran berkenaan sesuatu perkara yang bersumberkan daripada para Rasul yang diturunkan oleh ALLAH S.W.T. serta alam ciptaanNYA yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah. (1)

Di dalam Islam ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu Fardhu Ain dan ilmu Fardhu Kifayah. Ilmu Fardhu Ain ialah segala macam ilmu untuk mengenal ALLAH S.W.T., mengetahui sifat-sifat ALLAH S.W.T, mengetahui perkara ghaib, mengetahui cara beribadat, halal dan haram, mengetahui ilmu yang berkaitan dengan menjaga hati dan amalan hati, seperti sabar, ikhlas, hasad, ujub, takabur dan sebagainya. Berasaskan inilah para ulama’ menklasifikasikan ilmu kepada ilmu Tauhid, ilmu Feqah dan ilmu Tasawuf atau lebih kita kenali sebagai imlu Syara’ (2)

Ilmu Fardhu Kifayah pula ialah ilmu yang perlu diketahui untuk keperluan dan keselesaan hidup di dunia. Ilmu Fardhu Kifayah merupakan pelengkap kepada tahap keilmuan ummah selepas ilmu Fardhu Ain. Antara cabang ilmu yang dikategorikan sebagai ilmu Fardhu Kifayah adalah ilmu perubatan, kejuruteraan, perindusterian, matematik, ekonomi, politik dan lain-lain. Maksud Fardhu Kifayah ialah wajib ada dalam satu kumpulan umat Islam seorang individu muslim yang menuntut ilmu itu dan semua orang dalam kumpulan itu terlepas daripada dosa. Sebaliknya jika tidak ada seorang pun dalam kumpulan itu yang mengetahui ilmu ini, maka semua orang dalam kumpulan itu berdosa (Al-Ghazali, 1988) (2)

Ilmu pengetahuan merupakan prasyarat terpenting bagi pembangunan bangsa yang kuat dan dihormati. Setiap perkara di dunia ini mestilah disandarkan kepada ilmu seperti iman dan perkara keagamaan, ekonomi,politik, sosial, perpaduan dan sebagainya. Iman atau amalan tanpa ilmu ibarat sebuah bangunan di atas pasir atau sarang labah-labah. Apabila datang ribut yang kuat maka akan binasalah ia. Ilmu pengetahuan juga adalah asas pembentukan sesebuah tamadun manakala akhlak pula adalah pengutuh atau pengukuh yang berperanan mengekalkan kekuatan pembangunan bangsa, negara atau sebuah tamad

Adab-adab Menuntut Ilmu:

Adab menuntut ilmu yang pertama adalah menghormati guru. Menjadi kewajiban menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Para penuntut imlu mesti patuh kepada guru walaupun terdapat perbezaan antara guru dan pelajar. Dalam satu riwayat Imam As-Syafi'e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab'adh tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya. Ulama' terdahulu begitu menitik beratkan masalah keberkatan ilmu. Jika tiada perasaan hormat pelajar terhadap guru akan menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Tanpa ada keserasian dan kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu pembinaan mahabbah yang utuh antara guru dan pelajar akan mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan dan membawa keberkatan terhadap ilmu yang dipelajari.

Adab menuntut ilmu yang kedua adalah menuntut ilmu dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak susah untuk ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang berada dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa bahawa ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa perubahan kepada keislaman.

Adab menuntut ilmu yang ketiga adalah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan. Individu muslim yang menuntu ilmu dalam masa yang sama perlu menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat diatasi dengan membaca nota atau buku-buku yang kecil dan ringan. Selain itu amalan zikrullah dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran mampu melembut hati manusai kerana sesiapa yang menjauhi nasihat ataupun tazkirah diri ditakuti Allah akan mengeraskan hatinya sebagaimana firman ALLAH S.W.T. yang bermaksud :

“Dan ingatlah ketika mana nabi Musa berkata kepada kaumnya :Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?". (As-Sof: 5)

Adab menuntut ilmu yang keempat adalah memilih teman yang soleh dan berilmu. Siapa kita berhubung, siapa kita berkawan, memiliki pengaruh yang besar kepada perwatakan diri kita sendiri. Rasulullah pernah mengingatkan, maksudnya:

“Sesungguhnya perumpamaan teman yang shalih dan teman yang buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi, boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup tungku api seorang tukang besi, boleh jadi sama ada ia akan membakar pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi).” [Diriwayatkan oleh Muslim dalamShahihnya, hadis no: 2628].

Oleh itu sesiapa yang berusaha untuk memahami agama Islam hendaklah sentiasa berhubung dengan orang-orang yang perhubungannya sentiasa bersama ilmu. Mereka adalah orang-orang yang perhatiannya sentiasa kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, usahanya sentiasa kepada mengkaji kitab-kitab peninggalan para ulama’ dan pemikirannya sentiasa ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan menjaga kemurnian agama Islam. Di antara mereka ialah para alim ulama’ dan guru-guru, maka hendaklah memuliakan mereka, mendengar nasihat mereka dan mengikuti jejak langkah mereka. Seandainya mereka berbuat salah, hendaklah menasihati mereka secara sopan dan tersembunyi, tidak secara kasar dan terbuka kepada orang ramai. Di antara mereka adalah orang-orang yang dalam proses memahami agama Islam, maka hendaklah menjadikan mereka sebagai sahabat karib, selalu meluangkan masa berkongsi ilmu, bertukar-tukar pendapat dan saling menasihati.

Adab menuntut ilmu yang kelima adalah beramal dengan segala ilmu yang diperolehi. Para penuntut ilmu perlu mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu olehnya. Ulama’ silam sentiasa member peringatan bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, pengamalan ilmu yang dipelajari itu tidak mampu untuk dilaksanakan.Seperti firman ALLAH S.W.T.

“Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kotakan” (As-Sof: 2-3)

Kelebihan Menuntut Ilmu:

Kelebihan menuntut ilmu yang pertama adalah melahirkan manusia yang benar-benar taat kepada ALLAH S.W.T.. Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan ALLAH S.W.T. dan RasulNya seperti mana yang difirmakan oleh ALLAH S.W.T.:

“Sesungguhnya orang yang takut (taat) kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah ulama (orang yang berilmu)." (Surah al-Fathir: 28)

Daripada maksud ayat itu, dapat kita fahami bahawa ketaatan manusia kepada sesuatu perkara adalah berasaskan kefahaman dan penghayatan kepada perkara tersebut dan ketaatan serta penghayatan tersebut tidak dapat diperolehi melainkan dengan ilmu. Tidak dapat dinafikan kedudukan orang berilmu dengan orang yang jahil sememangnya berbeza terutama dari segi pemikaran dan cara bertindak. Maka benarlah firman ALLAH S.W.T. di atas yang menjelaskan bahawa orang yang tahu memanfaatkan akalnya mampu menerima segala pengajaran dan nasihat.

Sesungguhnya,orang yang berilmu bukan saja dihormati dan dikasihi oleh manusia tetapi juga oleh malaikat bahkan oleh seluruh makhluk di dunia ini. Ia dibuktikan oleh nas dan dalil al-Quran dan Hadis yang begitu banyak memperkatakan kelebihan orang yang berilmu.

Secara umumnya, perlu kita sedari bahawa ilmu yang dimaksudkan bukanlah terhad kepada ilmu yang berkaitan akhirat atau biasa disebut sebagai ilmu agama. Secara sedar atau tidak, semua ilmu yang terdapat hari ini sama ada mencakupi ilmu dunia atau akhirat, kedua-duanya adalah sunnah kepada manusia untuk mempelajari dan menguasainya (3)

Kelebihan kedua yang dimiliki oleh orang yang menuntut ilmu adalah mendapat darjat yang tinggi di sisi ALLAH S.W.T.. Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi ALLAH S.W.T. dan masyarakat seperti mana firman ALLAH S.W.T. dalam al-Quran

”ALLAH S.W.T. meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan ALLAH S.W.T. meninggikan orang-orang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangankamu) dengan beberapa darjat. Dan ingatlah, ALLAH S.W.T. amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan” (al-Mujadalah: 11).

Betapa Allah memuliakan golongan yang berilmu atau disebut sebagai ulama. Ini kerana peranan mereka dalam sesebuah masyarakat terlalu besar. Mereka penerus dakwah Nabi Muhammad SAW dalam melengkapkan agama umat manusia. Mendidik jiwa-jiwa agar patuh dan taat kepada segala apa yang diperintahkanoleh Allah SWT dan menjauhi larangannya agar kita benar-benar faham mengapa kita diciptakan dan diletakkan di dunia sebagai hamba. Atas sebab itulah ALLAH S.W.T. mengangkat darjat mereka yang berilmu dan dalam masa yang sama menyebarkan kefahaman mereka dalam usaha dakwah yang member manfaat kepada seluruh umat manusia.

Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, memberi kekuatan ketika dalam kesusahan dan berhadapan dengan musuh. Dengan ilmu, manusia dapat menjalankan ibadah secara sempurna serta melaksanakan peranan sebagai khalifah ALLAH S.W.T. di muka bumi dengan sebaiknya. Sesungguhnya orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang tidak berilmu. Orang yang berilmu lebih tinggi makamnya (kedudukannya) di sisi Allah. Allah memberi pahala yang lebih kepada amalan orang yang berilmu berbanding mereka yang tidak berilmu.

Kelebihan ketiga yang dimiliki oleh orang yang menuntut ilmu adalah mendapat keredhaan daripada ALLAH S.W.T.. Seperti mana hadis Rasulullah S.A.W. dalam sabdanya yang bermaksud:

“Ilmu itu adalah khazanah bagi orang-orang Islam, maka jadilah antara 4 golongan majlis ilmu yang mendapatkan keredhaan dari ALLAH S.W.T.. dan 4 golongan tersebut ialah ;

1) Orang yang bertanya

2) Orang yang mengajar

3) Orang yang mendengar

4) Orang yang cinta orang yang berada dalam majlis ilmu.”

Matlamat kehidupan manusia di duni ini adalah bagi mendapat serta memperoleh keredhaan daripada ALLAH S.W.T. kerana sesungguhnya hanya dengan redha ALLAH S.W.T. sahajalah akan meletakkan hamba ALLAH S.W.T. itu sebagai penghuni syurgaNYA. Perkara ini jelas sekali akan difahami oleh ummat Islam bila mana mereka menuntu ilmu yang benar.

Maka jelaslah, betapa mudahnya kita untuk mendapat ganjaran dari majlis ilmu. Dengan hanya menyukai orang-orang yang pergi ke majlis ilmu, kita dengan mudahnya telah tergolong dalam 4 golongan yang diredhai ALLAH S.W.T.. Dalam konteks pelajar, ilmu yang dipelajari hendaklah seimbang duniadan akhirat.

Oleh yang demikian bagi ummat Islam yang benar-benar sedar akan matlamat hidup mereka bagi mencari keredhaan ALLAH S.W.T. tidak akan mensia-siakan apa jua peluang untuk menuntu ilmu samada dalam bentuk formal atau pun secara tidak formal.

Kelebihan keempat orang yang berilmu adalah dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama. Sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah:

Dari Muawiyahr.a., dari Nabi S.A.W., sabdanya: "Sesiapa yang dikehendaki ALLAH S.W.T. mendapat kebaikan, nescaya dijadikan dia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama dan bahawa sesungguhnya aku ini hanyalah yang membahagikan, sedang ALLAH S.W.T. jualah yang member dan sebahagian dari umatku ini tetap terus menjalankan agama ALLAH S.W.T., tidak ada sesiapa pun dari kalangan orang-orang yang menyalahi mereka dapat merosakkan mereka, sehinggalah datang perintah ALLAH S.W.T."(Bukhari dan Muslim)

Di antara ilmu-ilmu agama yang utama sekali pada nilaian ALLAH S.W.T. adalah ilmu agama yang telah diwahyukannya kepada Rasul-Nya. Sebabnya kerana ilmu agama ini diturunkan oleh ALLAH S.W.T. dengan dua tujuan:

Pertama: - Kerana mengaturkan hubungan manusia sesame manusia dan mengatur hubungan manusia dengan ALLAH S.W.T.. Dengan ilmu agama ini ALLAH S.W.T. mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang akan hiduplah ia dengan saudara-saudaranya - manusia yang lain – dalam keadaan kasih mesra dan bersih suci dari perasaan hasad dengki.

Kedua – dengan ilmu agama inijuga ALLAH S.W.T. mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan Tuhan akan berjayalah ia mencapai keredhaan-Nya, iaitu dengan menjadikan dia berkehidupan bahagia di dunia dan mendapat balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.

Jika demikian natijah mengetahui ilmu agama, maka sudah tentu kejahilan terhadapnya membawa kecelakaan di dunia dan pada hari balasan. Hadis ini menerangkan bahawa ilmu pengetahuan yang sayugianya tiap-tiap seorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatnya ialah ilmu pengetahuan yang membawa keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Maka sesiapa yang ALLAH S.W.T. kehendaki beroleh kebaikan, disebabkan usahanya bersungguh-sungguh mencari yang demikian, nescaya ALLAH S.W.T. jadikan dia seorang yang memahami ilmu agama Islam dengan secara mendalam kerana agama Islam dan ilmu-ilmunya adalah dari ALLAH S.W.T. untuk kebaikan umat manusia di dunia dan di akhirat, meliputi jasmani serta rohaninya.

Kelebihan menuntut ilmu yang kelima adalah para malaikat bersama mereka dan mendoakan keampunan bagi mereka. Menurut Hadis, Rasulullah S.A.W.:

“Sesungguhnya malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan.” Abu ad-Darda’ r.a

Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama ALLAH S.W.T. sebagaimana yang diperintahkan oleh ALLAH S.W.T. kepada rasul-Nya. Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat. Kita selaku umat Islam dilarang memperlekehkan golongan alim ulama’ dan penuntut ilmu agama ini kerana Rasulullah S.A.W. menyatakan bahawa para malaikat sendiri seluruhnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada mereka disebabkan kemuliaan ilmu yang dituntut itu. (4)

Kalau orang yang mengajar ilmu, akan didoakan oleh makhluk-makhluk di langit mahupun di bumi (termasuk semut-semut di dalam lubang-lubangnya dan ikan-ikan yang bertebaran di lautan luas), maka orang-orang yang menuntut ilmu, lain pula cara penghormatan yang diterima mereka. Iaitulah mereka dihormati oleh para malaikat dengan malaikat merendahkan sayapnya sebagai tanda memuliakan dan menghormati orang-orang yang menuntut ilmu. Cumanya, Allah tidak membuka hijab kepada kita untuk melihat semua ini. Tetapi kita amat yakin sebab khabar ini datang dari mulut Nabi kita yang mulia yang tidak pernah berbohong sepanjang hidupnya.

Kesimpulan dan penutup:

Jika di teliti kepada kepentingan ilmu dan kelebihan ilmu seperti yang telah dijelasnkan di atas, maka seharusnya bagi kita sebagai “Ummah Terbaik” mengambil kesempatan yang berharga di dalam kehidupan ini untuk merancakkan lagi pemburuan ilmu itu. Maka menuntut ilmu itu tidak mengira usia sama ada seseorang itu muda atau tua, lelaki atau perempuan semua digalakkan menuntut ilmu.

Ilmu adalah asas manakala amal adalah hasil atau natijah daripada ilmu. berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muaz menyatakan " ilmu adalah merupakan iman manakala amal merupakan ma'mumnya (pengikutnya)". Di sinilah hubungan dan peranan antara ilmu, iman dan amal yang mana dapat disimpulkan bahawa " Amal tidak akan lahir tanpanya, Iman terhadap allah dan Iman tidak akan lahir tanpa ilmu yang dapat mendekatkan diri seseorang hambanya kepada ALLAH S.W.T.".

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More